Tetamu

Sunday, September 6, 2009

Misi Perkukuh Kumpulan Pro M di IPTA


Selepas berjaya menguasai semula Majlis Perwakilan Pelajar Univerisiti Malaya (MPPUM) serta menambah kerusi yang dimenangi di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), kumpulan pro-Mahasiswa kini memberi nafas baru kepada Badan Bertindak Mahasiswa Negera (BBMN).

Kira-kira 15 pemimpin MPP pro-Mahasiswa termasuk dari UM, Univerisiti Islam Antarabangsa (UIA), UKM dan UPM yang bermesyuarat semalam, bersetuju untuk menukar nama BBMN kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Yang Dipertua MPPUM, Mohd Ridzuan Mohammad (foto) mengesahkan penukaran nama badan tersebut kepada MPMN.

Beliau yang dilantik menjadi pengerusi majlis tersebut, menjelaskan penukaran nama baru itu bertujuan memberi nafas baru ekoran kemenangan pro-Mahasiswa di Univerisiti Malaya dan pertambahan kerusi di UKM dan UPM.

"Kita membuka ruang-ruang baru berhubung isu-isu ekonomi, pendidikan dan kebajikan mahasiswa," kata Mohd Ridzuan.

Menurutnya, penubuhan MPMN juga sebagai platform kepada mahasiswa pro-M untuk merangka misi dan visi mereka untuk menguasai MPP di berapa universiti termasuk UPM, UKM dan Univerisiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikuasai oleh pro-Aspirasi, dalam pilihanraya kampus akan datang.

Sehubungan itu, katanya, majlis tersebut merancang untuk mengadakan konvensyen MPP pro-M untuk membincang sasaran dan langkah seterusnya dalam pilihanraya kampus nanti.

Hala tuju mahasiswa Konvensyen tersebut dijadualkan diadakan pada Julai ini, tambahnya.

Dalam mesyuarat itu juga, mereka memutus secara sebulat suara untuk melantik perwakilan MPPUKM, Hisyamuddin Che Ali sebagai timbalan pengerusi MPMN.

Sementara perwakilan MPPUPM, Nor Farhana Farzieana Ali (foto) pula memegang jawatan setiausaha agung.


Mereka juga memutuskan jawatan bendahari dan ketua biro media dan penerangan masing-masing diperuntukkan kepada wakil MPP dari UIA dan UKM.

Bagaimanapun, mereka belum memikirkan nama calon yang sesuai untuk mengisi jawatan tersebut.

Mohd Ridzuan berkata, beliau berusaha untuk berjumpa dengan seluruh MPP pro-M bagi membincangkan hala tuju mahasiswa.

Bagaimanapun, kata yang dipertua MPPUM itu, tarikh perjumpaan tersebut tidak ditetapkan.- Malaysiakini

Komentar :

ada 0 comments ke “Misi Perkukuh Kumpulan Pro M di IPTA”

Post a Comment

 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN